Kuliah #2 – Kebaikan Sedekah

﴿﷽﴾

﴿ اِقْرَاۡ بِاسْمِ رَبِّکَ الَّذِیۡ خَلَقَ﴾

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan”

 

[al-Alaq : 1]

Segala puji hanya milik Allah subhana wata’ala, kami memujiNya dan memohon pertolongan padaNya dan ampunan kepadaNya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amalan perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petujunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya. Dan barangsiapa Allah sesatkan, tidak ada yang dapat memberi petunjuk kepadanya.

Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad  itu hambaNya dan RasulNya.


Alhamdulillah. Bertemu kita sekali lagi dalam ruangan Kuliah. Kolej Universiti Linton kerap mengadakan Kuliah pada khamis malam jumaat.

Maka kuliah pada kali ini mengenai kebaikan bersedekah, yang disampaikan oleh Ustaz Khairol Rizal pada 9 November 2017, bertempat di surau SI-05.

InshaAllah, semoga apa yang baik dapatlah kita amalkan dalam kehidupan seharian kita meskipun sedikit, tetapi berkekalan.

Kebaikan Sedekah

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي
إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصَّالِحِينَ
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh “.
[Surah al-Munafiqun:10]
Sedekah berasal dari perkataan arab, iaitu Sadaqo. Di dalam al-Quran, terdapat dalam 20 ayat mengenai sedekah.

Berdasarkan petikan ayat di atas, kita mestilah mengamalkan sedekah jariah sebelum kita mati. Kerana setelah kita mati, ke manakah harta kita akan pergi? Ia akan jadi milik anak-anak kita, yang ini masuk dalam bidang faraidh.

Pada suatu hari, para sahabat menyatakan bahawa mereka berasa cemburu dengan orang-orang yang kaya. Bermaksud, mereka boleh mensedekahkan harta mereka dengan banyak.

Maka Nabi s.a.w. menjawab, “Bukankah Allah telah berikan kamu sesuatu yang kamu boleh sedekahkan?”

Ajak kebaikan dapat sedekah. Buat perkara baik juga sedekah. Cegah kemungkaran sedekah. Menggauli isteri juga sedekah.

Ada sahabat pelik mengapa menggauli isteri juga dianggap sedekah? Sekiranya menggauli yang bukan halal itu dianggap berdosa, maka sebaliknya menggauli isterimu itu merupakan pahala juga.

عَنْ أَبِى ذَرٍّ أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالُوا لِلنَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالأُجُورِ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّى وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ « أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِى أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ قَالَ « أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ
Dari Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, “Sesungguhnya sebagian dari para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya lebih banyak mendapat pahala, mereka mengerjakan shalat sebagaimana kami shalat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, dan mereka bershodaqoh dengan kelebihan harta mereka”. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu untuk bershodaqaoh? Sesungguhnya tiap-tiap tasbih adalah shodaqoh, tiap-tiap tahmid adalah shodaqoh, tiap-tiap tahlil adalah shodaqoh, menyuruh kepada kebaikan adalah shodaqoh, mencegah kemungkaran adalah shodaqoh dan persetubuhan salah seorang di antara kamu (dengan istrinya) adalah shodaqoh“. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah (jika) salah seorang di antara kami memenuhi syahwatnya, ia mendapat pahala?” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, “Tahukah engkau jika seseorang memenuhi syahwatnya pada yang haram, dia berdosa. Demikian pula jika ia memenuhi syahwatnya itu pada yang halal, ia mendapat pahala”.
(HR. Muslim no. 2376)

Mengangkat perkara yang menghalang jalan juga dianggap sedekah. Nampak benda tajam atas jalanraya, jangan biarkan. Nampak benda berbahaya, alihkan. Itu juga dianggap sebagai sedekah.

Setiap perbuatan yang halal itu juga sedekah.

Berdoa sekarang untuk dapatkan pasangan baik

Ustaz kemudiannya berpesan supaya kita berdoa awal untuk mendapat pasangan yang baik. Terdapat seorang ustazah, yang berkahwin dengan seorang lelaki yang kasar. Kemudian ustazah itu berkata, bahwa satu perkara yang dia menyesal adalah tidak berdoa agar dikurniakan suami yang baik suatu masa dahulu.

Ada yang berkhayal ingin mendapatkan pasangan yang baik, meminta sedangkan dirinya tidak menjaga akhlak (bermaksud tidak perbaiki dirinya terlebih dahulu). Allah s.w.t telah berfirman, bahwa lelaki yang baik itu untuk wanita yang baik. Begitu juga sebaliknya.

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ ۖ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
ۚ أُولَٰئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ ۖ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.”
[Surah An-Nur:26]

Bagaimana nak perbaiki diri (agar dikuniakan pasangan yang baik?). Bagi pihak lelaki, jagalah solat dan rajinkanlah kaki ke surau. Kemudian bagi wanita pula, jagalah aurat dan pergaulan.

Kita berbuat jahat itu dosa. Buat baik pula pahala. Pintu kebaikan itu amatlah luas dan tidak terbatas.

Allah Bersifat Maha Menutupi

Allah itu bersifat As-Sattar, bermakna Allah itu Maha Menutupi. Allah menutup keaiban kita. Kita tidak tahu aib orang lain.

Boleh jadi orang itu rajin ke surau, tetapi di belakang kita dia? Wallahu alam. Semua itu Allah tutup aib mereka.

Sedekah Pada Keluarga

Allah ganjari pahala pada setiap perkara yg halal. Penuhi keperluan rumah tangga juga sedekah. Sebagai suami, membelikan barang dapur untuk isteri masak juga dianggap sedekah.

Bayangkan seorang ibu, memasak di bulan Ramadhan untuk anak-anaknya seramai 11 orang (ramainya…) termasuk suami, 12 orang, maka dia mendapat pahala seperti berbuka puasa itu juga.

Tanaman juga dapat dijadikan sebagai sedekah. Burung makan juga dapat sedekah. Kalau orang curi buah-buahan kamu, kamu juga dapat pahala sedekah. Jangan pula memaki hamun sesuka hati, kemudian barulah ‘halalkan’ (ustaz berjenaka).

Mencegah diri dari kejahatan juga sedekah.

Kisah Ibrahim Adham

Wallahu alam sekiranya nama ini betul, penulis terlupa.

Menurut ustaz, Ibrahim ini merupakan seorang ulama’ yang unggul. Suatu hari, seseorang bertanya kepada beliau mengenai jalan untuk ke bandar. Ibrahim ini memberitahu sekian dan sekian.

Kemudian orang tersebut pun bergerak untuk mencari bandar tersebut, hanya untuk menemui kubur. Maka dibelasahnya Ibrahim ini, orang yang sekeliling menghalang “tidakkah engkau tahu tuan ini siapa?”

Kisah di sini, menunjukkan dalamnya bahasa ulama’ tersebut. Bandar secara kita ketahui, sentiasa bertambah penduduknya. Begitu juga kubur.

Senyum Juga Sedekah

Senyum kepada saudara kita juga merupakan sedekah.

Ashabul A’raf

Ada golongan di akhirat kelak yang mana, timbangan al-Mizan baik dan buruknya seimbang. Maka Allah tangguhkan dahulu perbicaraan ke atas insan tersebut, dan ditempatkannya di Al A’raf. Setelah selesai semua orang diadili, maka dengan kasih sayang Allah s.w.t., orang yang disebutkan tadi masuk ke dalam syurga.

InshaAllah, kelak akan disambung lagi bab sedekah ini, kerana perbicaraannya panjang. Buku yang dibincangkan oleh ustaz merupakan “Keistimewaan Umat Muhammad”, oleh Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki, buku ini terdapat dua siri.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, ustaz meringkaskan bahawa jika kita tidak mampu untuk berbuat kebaikan, maka janganlah kita membuat keburukan pula. Jika kita tidak mampu untuk bercakap sesuatu yang baik, maka lebih baik untuk kita diam. Islam turut menuntut umatnya untuk menjaga silaturrahim dan segala perkara yang baik boleh dianggap sebagai sedekah, tidak terbatas kepada harta semata.

Akhirnya, ustaz berpesan untuk membaca al-Kahfi pada malam Jumaat, bagi mengelakkan fitnah al-Masih Dajjal.

Maksudnya :  “Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada siksa api neraka Jahannam dan dari siksa kubur, dan dari fitnah dalam kehidupan dunia dan fitnah setelah mati, juga aku berlindung dangen Engkau daripada kejahatan fitnah Al Masih Dajjal.”

Nota: Doa ini boleh dibaca ketika solat semasa tahiyat akhir, sebelum memberi salam.

Nota penulis:

“Sekiranya terdapat sebarang kesilapan, mohon dinasihatkan. InshaAllah, yang baik datang daripada Allah, dan yang lemah itu datang dari kelemahan saya sendiri. Semoga apa disampaikan dapatlah kita amalkan dalam kehidupan seharian kita yang secebis ini di mata Allah s.w.t.”
-Mohamad Zafranudin Mohamed Zafrin